PERNAH makan tiram Sarawak dibakar dengan keju dan cecah air asam yang sedap? Atau sotong bakar cecah sambal ala-ala menu tepi jalan di Thailand?

Di Metro City Kuching, anda akan menikmatinya di salah satu kedai makan Kerencheng.

Suasana malam di kedai ini dengan konsep terbuka dan selesa. Anda akan dihidang ikan bakar, sotong bakar dan lokan bakar!

Sebanyak 10,000 lokan termasuk menu lokan bakar keju laris terjual setiap hari di kedai makan Kerencheng milik pasangan suami isteri, Wan Hafizu Rahman Wan Sazali, 38, dan Sharifah Asuhada Ramlah, 35.

Keunikan masakan tersebut bukan sahaja menarik lebih ramai pelanggan, namun turut memberi limpahan rezeki kepada peniaga kecil-kecilan yang menyewa gerai di dalam kedai tersebut.

Selain tiga menu utama itu, Kerencheng turut menawarkan pelbagai masakan lain seperti ikan singgang, daging harimau menangis, kambing kiak kaong, kari ikan pari dan siakap, somtam mangga dan betik serta banyak lagi.

Bagaimanapun, masakan lokan bakar keju, lokan bakar, ikan bakar serta sotong bakar menjadi daya tarikan utama di restoran tersebut  sehingga sentiasa dipenuhi ramai pengunjung terutama pada waktu malam.

Menurut Sharifah, menu yang dihasilkan di kedainya merupakan hasil resipi beliau sendiri disebabkan minat meneroka resipi baharu dalam bidang masakan.

“Seperti cecah serta sambal ikan bakar, lokan bakar dan sotong bakar kesemuanya dicipta mengikut cita rasa saya sendiri. Kami menyediakan makanan seperti ala-ala makanan laut di Thailand.

“Keistimewaan sambalnya pula apabila mempunyai pelbagai bahan-bahan seperti daun ketumbar, bawang, tomato dan lain-lain,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak semalam.

Mengulas mengenai hidangan utama itu, Sharifah berkata, antara hidangan yang menjadi permintaan ramai adalah sotong dan ikan bakar.

Sementara itu, pada sebelah siang pula katanya, mereka turut menawarkan menu masakan nasi pengilan (kenduri) dan makanan lain.

“Sekiranya pelanggan teringin nak makan nasi orang kahwin, jangan risau di sini mereka boleh menikmati nasi pengilan atau kenduri yang memang rasa seperti berada di kenduri kahwin,” katanya lagi.

Berhubung penyediaan masakan ikan, sotong dan lokan bakar, Sharifah memaklumkan kesemua menu utama tersebut mula dijual kepada pelanggan pada jam 5.00 petang sehingga 10.30 malam.

Katanya, bekalan lokan lebih 500 kilogram sehari diperoleh secara segar daripada lima pembekal tempatan.

“Sementara bekalan sotong premium diperoleh daripada kilang pembekal dengan sebanyak 10 guni bersamaan 150 kg sotong dibekalkan kepada kami setiap hari manakala lebih 500 sotong laris terjual setiap malam.

“Alhamdulillah sambutan amat memberangsangkan,” katanya sambil menambah, kapasiti kedai makannya dapat memuatkan seramai 200 pelanggan dalam satu-satu masa.

Dalam pada itu Sharifah berkata, kejayaan dikecapi hari ini tidak akan membuahkan hasil tanpa dorongan suami dan keluarga tercinta.

Katanya, dengan sokongan suaminya yang turut menjaga bahagian pemasaran sangat membantu menjayakan perniagaan mereka.

Pada masa sama, kami berhasrat melebarkan sayap perniagaan ke kawasan lain seperti di Samarahan dan akan dilaksanakan pada masa akan datang, ujarnya.

Bagi individu yang ingin membuat tempahan boleh berhubung terus dengan Sharifah di talian 013-4593168 atau layari Facebook Kerencheng untuk maklumat lanjut.

Suara Sarawak