KUCHING: Datuk Seri Hamzah Syed Paie hari ini membidas kenyataan Datuk Othman Abdillah yang menyelar Ahli Parlimen (MP) Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai lemah dan lembik.

Menurut Setiausaha Politik Kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang Undang) terbabit, kenyataan Presiden Parti Sedar itu diibaratkan kenyataan daripada seorang petapa yang baru keluar dari gua.

“Selesai membaca artikel yang disiarkan pada 18 Ogos 2022, hati saya seperti dijentik untuk menjawab kenyataan penuh sadis umpama datang daripada seseorang yang hilang keupayaan untuk melihat dan mendengar (bengal).

Datuk Seri Hamzah Syed Paie

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, sekali gus membidas kenyataan Othman Abdillah yang menyatakan MP GPS senyap dan gagal memperjuangkan hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) Cawangan Demak Laut terbabit, dengan kekuatan dan iltizam semua MP GPS, pada 14 Disember 2021 Perlembagaan Malaysia berhubung MA63 berjaya dipinda dengan sokongan penuh diberikan.

“Kalau dikira dari logik akal, mustahil untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dalam keadaan kerajaan dan semua parti politik tidak mempunyai majoriti dua per tiga,” katanya.

Kejayaan pindaan Perlembagaan Persekutuan turut menjadikan MA63, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) serta Laporan Suruhanjaya Cobbold sebagai instrumen perlembagaan di Malaysia, katanya.

“Kejayaan tersebut turut membolehkan Sarawak dan Sabah menuntut hak-hak yang terhakis selama ini,” tambahnya.

Suara Sarawak