KUCHING: Peruntukan RM1.16 bilion dalam Bajet 2023 merupakan tanda sokongan dan komitmen berterusan kerajaan untuk menjadikan industri pelancongan, seni dan budaya tempatan kembali teguh.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peruntukan bagi mengurus dan pembangunan sektor tersebut menunjukkan kesinambungan usaha kerajaan dalam memulih serta memantapkan ekonomi negara pasca-Covid-19 yang telah dijalankan sejak 2021.

“Komitmen kerajaan jelas dalam memastikan agenda pertumbuhan ekonomi negara terus diberi tumpuan, bagi memperkasa industri dan perniagaan.

“Oleh itu, MOTAC akan memperhalusi segala peruntukan yang melibatkan sektor pelancongan dan kebudayaan serta bersedia untuk merebut setiap peluang pertumbuhan untuk membangunkan sektor ini,” katanya dalam kenyataan mengulas mengenai Bajet 2023, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, MOTAC akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi dan mempersiapkan negara daripada kejutan masa hadapan khususnya tinjauan bagi tahun 2023 menunjukkan cabaran berbeza dan ketidaktentuan ekonomi.

“MOTAC menyambut baik dan merakamkan terima kasih kepada kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pengumuman bajet berimpak tinggi yang disifatkan sebagai responsif, bertanggungjawab dan reformis,” tambahnya.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 semalam mengumumkan, antara peruntukan di bawah MOTAC termasuk RM200 juta bagi pemulihan sektor pelancongan dan RM90 juta untuk Geran Padanan Galakan Melancong (GAMELAN), yang melibatkan kempen promosi dan pemasaran bersama industri.

Selain itu, RM25 juta insentif kepada rakyat dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat bagi penginapan, pakej pelancongan, kraf tangan dan karya seni sehingga RM100; peruntukan RM25 juta bagi Program Merakyatkan Seni Budaya dan Warisan; serta pengecualian cukai 100 peratus ke atas pendapatan berkanun bagi pelancong asing dan tempatan.

Lain-lain dana yang terlibat ialah peruntukan RM500 juta Dana Pembiayaan Pelancongan Bank Negara Malaysia (PTF) dengan jumlah pembiayaan dinaikkan daripada RM300,000 kepada RM500,000 dan Dana Pembiayaan Infrastruktur Pelancongan berjumlah RM1 bilion, bagi memperkukuh momentum pemulihan sektor pelancongan.

Suara Sarawak