KUCHING: Seorang pemuda berusia 24 tahun dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau satu bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki wang secara tidak sah dalam akaun bank peribadinya berjumlah RM7,500, empat tahun lalu.

Tertuduh Nelson Badindang dari Selangau, Sibu mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki wang secara tidak sah di dalam akaun peribadi Maybank berjumlah RM7,500 yang dimasukkan pada 18 September 2018, sekitar jam 4.20 petang di bank tersebut di Kota Sentosa, di sini.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 37(1), Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda RM500 jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu merupakan warga emas lelaki berusia 65 tahun telah berkenalan dengan seorang wanita warga asing bernama Meredith Claire Chivas melalui laman media sosial Facebook.

Mangsa membuat transaksi wang berjumlah RM7,500 kepada akaun bernama Nelson Bedindang setelah kenalannya (Meredith) meminta mangsa untuk membuat pembayaran cukai kastam untuk menuntut barang yang ingin dikirimkan.

Selepas membuat transaksi pembayaran, mangsa menyedari diri ditipu selepas ditegur oleh salah seorang pelanggan bank, lalu membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Hasil siasatan, tertuduh mengaku telah kehilangan kad ATM dan tidak melaporkan kepada pihak polis serta pihak bank untuk membekukan akaun.

Suara Sarawak