KUCHING: Rayuan hukuman mati seorang lelaki yang didakwa membunuh seorang pembeli lada menggunakan senapang patah tujuh tahun lalu ditolak oleh Mahkamah Rayuan di sini, hari ini.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Seri Mariana Yahya dan Datuk Supang Lian sebulat suara menolak rayuan Chong Fook Fatt atas kesalahan yang disabitkan serta hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya.

Fook Fatt, 48, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 24 Julai 2020, yang menjatuhkan hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh seorang pembeli lada Chon Siew Kiong, 36, di kebun lada hitam di Kampung Jugan, Jalan Bau-Lundu pada 21 Jun 2016.

Bunuh: Chong Fook Fatt dibawa keluar dari Mahkamah Rayuan di sini, hari ini selepas pendengaran rayuannya ditolak.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Celestina Stuel Galid menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap perayu selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Celestina membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Fook Faat yang didakwa membunuh Chon Siew Kiong menggunakan senapang patah.

Selain itu, Chong Fook Lai, 46, yang merupakan adik tertuduh turut didakwa kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan terbabit.

Namun demikian, Mahkamah Tinggi meminda pertuduhan Fook Lai kepada Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bersubahat.

Pada 19 Julai 2018, mahkamah kemudian melepas dan membebaskan Fook Lai daripada pertuduhan terbabit.

Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Samihah Rhazali manakala perayu diwakili peguam lantikan mahkamah, Osman Ibrahim dan Nur Atiqah Kulah.

Suara Sarawak