Premis disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian dipotong bekalan elektrik.

KUCHING: Seramai 101 individu warga tempatan ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan judi haram di Daerah Kuching untuk tempoh 1 Jun hingga 30 September lalu.

nggota polis IPD Kuching membuat serbuan dan pemotongan terhadap premis yang menjalankan kegiatan judi dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, suspek yang ditahan terdiri daripada 89 lelaki dan 12 perempuan menerusi 89 Op Dadu Khas dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Dalam operasi yang sama katanya, pihaknya turut membuat rampasan wang tunai sebanyak RM16,590.

“Sebanyak 86 kertas siasatan telah dibuka iaitu 74 kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu perjudian atas talian.

“Selain itu, sembilan kertas siasatan di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu perjudian loteri awam tanpa lesen dan tiga kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1)(g)(pusat panggilan),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahsmon berkata, sebanyak 35 kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 48(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, perjudian dalam talian yang dijatuhkan hukuman paling rendah RM10,000 dan hukuman paling tinggi RM40,000.

“Manakala, 26 lagi kertas siasatan lain akan dituduh di sebaik sahaja selesai,” jelasnya.

Beliau memberitahu, Op Dadu akan diteruskan bagi membanteras aktiviti perjudian di Daerah Kuching.

Beliau dalam pada itu mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan aktiviti perjudian di daerah ini dengan menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran.

 

Suara Sarawak