SERAH…Khere Chiang (tiga kiri) dan Yap (dua kiri) menyaksikan penyerahan projek daripada Penolong Jurutera MPP Mohd Aizat Wahab (enam kiri) kepada pihak JBM Construction Build Company.

KUCHING: Masalah tanah terhakis dan banjir kilat akibat hujan di Jalan Semaba, di sini akan diselesaikan dengan penambahbaikan sistem perparitan dan membina tembok menerusi projek transformasi luar bandar (RTP).

Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata, penambahbaikan itu antara 11 projek RTP yang dilaksanakan di Dun Kota Sentosa dan Batu Kitang dengan kos keseluruhan berjumlah RM800,000.

Katanya, setiap kali berlaku hujan, tanah di kawasan cerun lorong 3 Jalan Semaba akan terhakis, selain banjir kilat menjejaskan rumah penduduk di kawasan tersebut.

“Masalah ini timbul sebelum janji kami Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) dan kita selesaikan dengan membina parit konkrit besar dan tembok penahan.

“Kami penuhi janji dan tunaikan hari ini. Kami tidak menipu,” katanya selepas menyaksikan penyerahan tapak projek di Lorong 3 Jalan Semaba, di sini hari ini.

Sementara Yap berkata, beliau bersama Khere Chiang bekerja sebagai satu pasukan dalam menyelesaikan beberapa isu di Dun Kota Sentosa.

Katanya, masalah banjir kilat yang melanda pekan lama Batu 7 akan diselesaikan dengan pembinaan parit menerusi peruntukkan RM1.1 juta diluluskan kepada MPP.

“Apabila projek itu dilaksanakan, masalah banjir kilat di keseluruhan bazar Kota Sentosa Batu 7 tidak lagi menjadi isu. Jadi kita tunggu untuk penyerahan rasmi kepada kontraktor,” ujarnya.

TEPATI JANJI…Khere Chiang dan Yap bergambar bersama penduduk kawasan Jalan Semaba selepas menyaksikan penyerahan projek RTP.

Suara Sarawak