KUCHING: Satu kematian akibat Covid-19 direkodkan pada minggu ke-42, selain pertambahan 19 kes baharu berbanding minggu sebelumnya.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak memaklumkan, kes kematian tersebut berlaku di bahagian Sibu.

Sementara bagi kes baharu, meningkat kepada 443 pada minggu ke-42 berbanding hanya 424 kes pada minggu ke-41.

Daripada 443 kes baharu itu, 430 kes berada dalam kategori klinikal satu dan dua.

Ia disumbangkan oleh daerah Kuching dengan 152 kes, Sibu (76 kes), Miri (53 kes), Bintulu (27 kes), Sarikei (18 kes), Bau dan Samarahan masing-masing 14 kes, Mukah (11 kes) serta 21 daerah lain.

Tiada kes baharu dilaporkan di Saratok, Selangau, Marudi, Tanjung Manis, Tatau, Kabong, Belaga, Limbang, Sebauh, Tebedu dan Bukit Mabong.

Ini menjadikan kumulatif bagi dua minggu tersebut masing-masing 316,544 dan 316,987 kes.

Suara Sarawak