BANTU RAKYAT…Dr Sim serta tetamu kehormat yang lain bersama para penerima bantuan tersebut.

SIBU: Kerajaan Sarawak akan membina sebanyak 2,000 rumah susulan daripada pelaksanaan Rancangan Pembaharuan Bandar Sibu.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Sri Dr Sim Kui Hian berkata, rumah dibina itu untuk penduduk terjejas disebabkan pelaksanaan projek tersebut.

Menurutnya, projek itu melibatkan keluasan tanah keseluruhan 500 ekar dan rumit untuk dilaksanakan.
“Memandangkan penduduk terlibat dengan pelaksanaan projek ini akan kehilangan tempat tinggal, kira-kira 2,000 rumah perlu dibina untuk mereka.

“Kita bertuah kerana Kerajaan Belanda menawarkan pelan bantuan banjir. Pelan induk ini merupakan peringkat awal perancangan meliputi lebih 500 ekar tanah yang melibatkan lebih 2,000 rumah.

“Dan kami perlu membina rumah mampu milik untuk golongan ini atau jika tidak, mereka tidak akan mempunyai tempat tinggal,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penyampaian Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS) dan Program Perumahan Mutiara Rumah Spektra di sini, semalam.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, Kerajaan GPS perlu bertindak secepat mungkin terhadap rancangan itu termasuk merancang keperluan perumahan penduduk terjejas.

Beliau juga meminta Unit Perancangan Ekonomi (EPU) membantu untuk melihat kos pembinaan rumah.
Dr Sim memberitahu, satu lagi pelan induk melibatkan penyelesaian masalah banjir di sini akan turut dilaksanakan.

“Bagi pelan induk ketiga, kami mempunyai LCDA (Lembaga Pelindungan Tanah dan Pembangunan Tanah) dan Abang Johari melawat Singapura dan kami telah menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat bernama Rainbow.

“Syarikat ini pakar dalam banjir. Sibu terletak di antara sungai. Sungai dilihat semakin tinggi daripada tanah, jadi ini akan mengakibatkan banjir,” katanya.

Bagi penyelesaiannya, Adun Batu Kawah itu berkata tasik buatan di seluas 50 ekar tanah perlu dibina sebagai penyelesaian tetap kepada masalah banjir di sini.

“Melainkan jika anda membuat tanah Sibu lebih tinggi tetapi kami tidak boleh lakukan kerana sudah banyak rumah di sana. Kami boleh membina benteng, kami boleh mengorek sungai tetapi jika hujan, ke mana air hujan akan pergi?

“Ia akan sampai ke sungai dan sungai akan lebih tinggi daripada anda. Jadi anda perlu ada tasik.

Daripada 500 ekar tanah itu (tanah untuk pelaksanaan Rancangan Pembaharuan Bandar Sibu) yang digunakan untuk tujuan untuk tujuan projek tersebut, 50 ekar adalah untuk pembinaan tasik,” tegasnya.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang Ming Tee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Adun Bukit Assek Chieng Jin Ek serta kenamaan lain.

Suara Sarawak