TAHNIAH…Datuk Sharbini Suhaili menyerahkan sijil biasiswa kepada salah seorang penerima.

KUCHING: Seramai 214 individu menerima biasiswa daripada Sarawak Energy Berhad (SEB) bagi melanjutkan pelajaran ke universiti awam dan swasta Malaysia serta ke luar negara dalam pelbagai bidang pengajian pada 2022.

Kesemua penerima terdiri daripada 201 pelajar manakala 13 lagi pekerja terpilih hasil proses penilaian rapi dan berstruktur menerusi lebih 688 permohonan diterima di Sarawak.

Daripada jumlah keseluruhan, lima wakil pemohon disenarai pendek berdasarkan pencapaian akademik dan kokurikulum serta potensi kepimpinan melanjutkan pelajaran ke luar negara termasuk Singapura, Australia dan United Kingdom.

Majlis penganugerahan biasiswa dihadiri oleh cendekiawan, ibu bapa, pengetua sekolah, naib canselor universiti dan pasukan pengurusan kanan SEB berlangsung dengan jayanya di Hotel Waterfront, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad (SEB), Datuk Sharbini Suhaili berkata, pihaknya berbesar hati meneruskan program yang dilancarkan sejak lapan tahun lalu dalam usaha membentuk dan membantu mencerahkan masa depan golongan muda pelajar Sarawak sejak 52 tahun lalu.

“Dengan melabur kepada perkembangan pendidikan warga muda sekali gus membantu mereka mencapai masa depan lebih cerah dari setiap bahagian di Sarawak,” katanya.

Suara Sarawak