31 kerusi sudah ada calon

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah memutuskan calon bagi mengisi 31 kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15, kata Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Jelasnya, parti itu akan meletakkan calon seperti mana yang telah diputuskan dalam kalangan parti komponen GPS.

Empat parti komponen GPS ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

“Setakat ini kita belum mengumumkan calon. Tunggu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Mesyuarat Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS di Ibu Pejabat PBB, dekat sini, hari ini.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada 20 Oktober (Khamis) ini bagi membincangkan dan menentukan tarikh penting PRU-15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Bugaya, Sabah.

Antara perkara yang dibincangkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan kedua-dua pilihan raya tersebut.

Abang Johari menambah, GPS juga akan mengeluarkan manifesto sendiri dan ini merupakan kali pertama gabungan berkenaan bertanding dalam pilihan raya umum.

Ditanya mengenai kerusi Parlimen Puncak Borneo yang sebelum ini disandang oleh Datuk Willie Mongin, beliau enggan menggulas lanjut dan menegaskan GPS akan bertanding di semua kerusi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 31 kerusi Parlimen di Sarawak, PBB bertanding di 14 kawasan, SUPP (tujuh), PRS (enam) dan PDP (empat).

 

Suara Sarawak