KUCHING: Penanaman pokok di sepanjang Jalan Padungan akan dipergiatkan sebagai usaha menghidupkan suasana seperti dahulu yang indah dengan pemandangan hijau alam semula jadi.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk Wee Hong Seng berkata, usaha itu penting bagi menghidupkan semula Jalan Padungan iaitu sebuah kawasan dibangunkan sejak beratus tahun dahulu.

Dengan adanya inisiatif penanaman lebih banyak pokok di sepanjang jalan, beliau percaya ia akan membantu mengindahkan semula jalan bersejarah tersebut.

KERJASAMA… Datuk Wee Hong Seng (dua kiri) bersama-sama para peserta dalam aktiviti menanam pokok di Jalan Padungan, hari ini.

“Kita akan menambah dengan menanam sebanyak 40 batang pokok baharu di sepanjang jalan Padungan.

“Ini penting dalam kita menyumbang membantu penapisan udara bersih secara semula jadi sekali gus mempromosikan suasana gaya hidup sihat kepada masyarakat,” katanya selepas mengetuai aktiviti penanaman pokok MBKS di Jalan Padungan, di sini, hari ini.

Tegasnya, MBKS sentiasa mengekalkan baik pulih taman-taman rekreasi di kawasan tersebut demi memastikan persekitaran sentiasa berada dalam keadaan teratur.

“Beberapa lampu jalan yang lama turut dibaik pulih dengan peruntukan sedia ada.

“Ia bertujuan memberi kesederan kepada orang ramai dan masyarakat bertapa pentingnya usaha menanam dan menyelamatkan pokok supaya tidak terkesan akibat perubahan iklim,” tambahnya.

Suara Sarawak