Hong Seng (tengah) diiringi Dr Afifah (kiri) dan Dr Mohammad Masrin (kanan) ke tapak pameran. Foto Ramidi Subari

KUCHING: Seramai 500 delegasi menghadiri Persidangan Transfusi Perubatan Kebangsaan Ke-10 2022 yang dianjurkan buat pertama kali di Timur Malaysia.

Berlangsung selama tiga hari sehingga 11 Oktober, persidangan anjuran Persatuan Transfusi Darah Malaysia, Perkhidmatan Transfusi Darah Hospital Umum Sarawak turut disokong Biro Konvensyen Sarawak.

Persidangan ini juga dianjurkan bersempena Hari Akademi Persatuan Transfusi Darah Antarabangsa.

Bertemakan ‘Cabaran dan Peluang dalam Perubatan Transfusi’, Presiden Transfusi Darah Malaysia Datuk Dr Faraizah Abdul Karim berkata, terdapat dua sesi dan lapan simposium dalam mengetengahkan cabaran sedia ada serta peluang dalam cabaran transfusi.

Beliau yang juga pengerusi persidangan berkata, ceramah akan disampaikan oleh penceramah dari Malaysia, Singapura, Thailand, Australia, New Zealand, Hong Kong, Taiwan, Filipina, Jepun, Korea, China, Belanda dan Brazil.

“Pakar yang terkenal ini meluangkan masa untuk bersama-sama kita bagi berkongsi pengetahuan, pengalaman dan kemahiran dalam bidang perubatan transfusi.

“Kita amat berbesar hati atas dedikasi dan komitmen mereka untuk bersama-sama dengan kita hari ini di Sarawak,” katanya ketika berucap pada Persidangan Transfusi Perubatan Kebangsaan ke-10 dan Hari Akademi Persatuan Transfusi Darah, di sini hari ini.

Pembentangan secara lisan dan poster berhubung penjagaan pesakit turut dibentangkan oleh delegasi dari pelbagai negara.

Sementara, Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan persidangan tersebut.

Delegasi mendengar ceramah pada Persidangan Transfusi Perubatan Kebangsaan Ke-10 2022. Foto Ramidi Subari 

Suara Sarawak