BERSAMA… Mohamad Isham Fauzi, menyampaikan ucapan alu-aluan ditemani Ketua Komunikasi Korporat Sarawak Skills, Stanley Gona Chee Khiong (kanan) dan Pengurus (Latihan Teknikal) Sarawak Skills, Linda John Tambie (kiri).

KUCHING: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (Sarawak Skills) berkolaborasi melalui program perusahaan produktif sebagai inisiatif meningkatkan produktiviti syarikat di negeri ini.

Program bermula cemerlang dengan penyertaan seramai 52 peserta daripada pelbagai sektor industri dan agensi kerajaan pada taklimat dalam talian kendalian Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr Mazrina Mohamed Ibrahimsah pada Khamis.

Pemangku Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Komersial (Penglibatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan) Sarawak Skills, Mohamad Isham Fauzi berkata, pihaknya berbesar hati menjadi rakan teknologi dalam penganjuran dan pelancaran program tersebut.

“Sudah tiba masanya untuk syarikat-syarikat mengambil langkah berani ke hadapan.

“Taklimat MPC ini membuka jalan untuk lebih mendalami masa depan berkaitan perniagaan supaya berkembang maju dalam persekitaran global yang sentiasa mencabar,” katanya dalam pada ucapan alu-aluan program terdahulu.

Tegasnya, taklimat tersebut telah menyumbang secara positif kepada pembangunan inisiatif strategik syarikat, khususnya dalam meningkatkan produktiviti.

Sementara itu, Dr. Mazrina menekankan bahawa program MPC adalah untuk meningkatkan produktiviti peringkat firma melalui inovasi proses.

Katanya, beberapa cabaran berkaitan produktiviti dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan merangkumi kekurangan inovasi dalam produk, kadar penggunaan teknologi dan pendigitalan yang rendah dan tidak menggunakan teknologi moden.

TAKLIMAT…. Para peserta program yang menyertai taklimat tentang Program Produktif Perusahaan MPC secara dalam talian

Suara Sarawak