SYUKUR…Para pelajar UNIMAS merakamkan gambar kenangan bersama-sama penyandang Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) selepas menerima Peranti Siswa Keluarga Malaysia di Arena Gemilang, UNIMAS

KOTA SAMARAHAN: Lebih 6,400 pelajar keluarga B40 dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang berkelayakan telah menerima tablet di bawah program Peranti Siswa Keluarga Malaysia.

Program Peranti Siswa Keluarga merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Penyandang Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof selaku wakil kerajaan menyerahkan inisiatif tersebut menggesa agar pelajar memanfaatkan peranti itu dengan sebaik mungkin, khususnya ke arah kecemerlangan dalam bidang pendidikan.

“Selaras dengan ledakan pembangunan teknologi digital di Sarawak, banyak inisiatif pendigitalan dilaburkan merentasi pelbagai sektor ekonomi.

“Sekali gus, sebagai langkah mewujudkan Keluarga Malaysia celik IT serta meningkatkan inovasi tambahan terhadap negara di peringkat global,” katanya selepas merasmikan program tersebut yang berlangsung di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan kementerian komunikasi akan sentiasa memantau bagi memastikan inisiatif tersebut digunakan dengan sebaiknya.

Untuk rekod, sehingga 20 September 2022, sebanyak 7,400 permohonan Peranti Siswa telah diluluskan kepada pelajar Sarawak.

Manakala secara keseluruhan, kira-kira 400,000 pelajar seluruh negara dalam kategori B40 yang menyambung pengajian ke universiti awam, institusi pengajian tinggi swasta, politeknik dan Kolej Komuniti layak menerima tablet Samsung Galaxy Tab A8 LTE.

Suara Sarawak