MIRI: Sarawak menjadi penerima terbesar dengan peruntukan lebih RM1 bilion untuk melaksanakan hab rangkaian gentian optik titik kehadiran atau Point of Presence (PoP) Fasa 2 melibatkan 681 kawasan sekolah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, ia juga akan dapat memberikan manfaat kepada lebih 73,548 premis termasuk rumah kediaman.

Menurutnya, pelaksanaan PoP Fasa 1 di Sarawak hanya melibatkan kos hampir 90 juta dengan 60 buah PoP di kawasan sekolah dan tujuh kawasan perindustrian di Kota Samarahan, Serian, Sibu, Sarikei, Bintulu dan Kapit.

“Sehingga kini sebanyak 41 PoP kawasan sekolah yang akan memberikan perkhidmatan internet talian tetap kepada 4,348 buah premis telah berjaya disiapkan.

“Pihak syarikat juga akan menawarkan pakej internet istimewa bagi yang melanggan melalui projek PoP ini dengan harga serendah RM45 sebulan,” katanya pada sidang media di Hotel Marriot dekat sini, hari ini.

Tambahnya, secara keseluruhan melalui Projek PoP Fasa 1 dan Fasa 2, Sarawak akan menerima sebanyak RM1.11 billion bagi meningkatkan infrastruktur digital dan ia tidak termasuk lain-lain projek di bawah inisiatif projek Jalinan Digital Negara (Jendela).

Annuar Musa

“Perkara tersebut juga dilaksanakan susulan menyedari masih terdapat banyak kawasan terutama di Sabah dan Sarawak yang amat memerlukan jaringan dan perkhidmatan internet talian tetap berkelajuan tinggi ini.

“Saya juga telah menyampaikan Surat Setuju Terima (SST) Tender PoP Fasa 2 pada 6 Oktober lalu,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, secara keseluruhannya sebanyak 4,323 PoP telah dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di kawasan berhampiran sekolah luar bandar, termasuk 47 PoP bagi kawasan Industri yang telah dikenal pasti.

“Sekurang-kurangnya sebanyak 432,300 premis akan menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi apabila projek ini siap menjelang akhir RMK-12 tahun 2025.

“Pelaksanaan PoP Fasa 2 ini yang akan dilaksanakan dari tahun 2022 hingga 2025 akan melibatkan sebanyak 3,693 dengan menelan belaja RM3.7 bilion,” jelasnya.

Annuar berharap agar semua syarikat yang telah dipilih dapat melaksanakan projek mengikut jadual iaitu dalam tempoh 36 bulan seperti yang telah ditetapkan.

“Apabila projek ini selesai menjelang akhir tahun 2025 kelak, kesalinghubungan digital yang berteraskan rangkaian gentian optik terutamanya di kawasan luar bandar akan dapat merapatkan jurang digital.

“Ia juga menyokong pembangunan wilayah yang seimbang dan inklusif, seterusnya menyokong pembangunan teknologi baharu seperti 5G dan generasi-generasi teknologi komunikasi yang akan datang,” tegasnya.

Suara Sarawak