837 individu ditahan, dadah RM104,713.90 dirampas

KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah menangkap 837 individu termasuk empat warga asing terlibat dalam jenayah dadah sepanjang Jun hingga September lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, operasi dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching turut merampas dadah bernilai RM104,713.90.

“Sementara, suspek yang ditahan terdiri daripada 756 lelaki dan 73 perempuan.

“Kesemua suspek berumur dalam lingkungan 15 hingga 64 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 760 jumlah kes dicatatkan dengan pelbagai rampasan dadah dibuat.

Jelasnya, rampasan melibatkan 431.11 gram syabu, 242.07 gram ketamin, 321.59 gram ganja, 283 pil ekstasi, 469 biji pil eramin 5, 265 gram serbuk ektasi dan 762 biji pil nospan.

“Sementara bagi kadar pertuduhan, sebanyak 53.35 peratus berjaya dilaksanakan dari keseluruhan kes,” ujarnya.

 

Nilai keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM104,713.90 hasil tangkapan 837 individu sekitar Kuching.

Suara Sarawak