TERIMA KASIH… Penerima PerantiSiswa merakam kenangan bersama-sama Annuar (tengah).

MIRI: Sebanyak 90 daripada 339 tapak 5G sudah siap dibina di seluruh Sarawak setakat 5 Oktober 2022.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa sambil mendedahkan pembinaan tapak melibatkan beberapa kawasan di Kuching, Bintulu serta Miri.

Beliau berkata, kementeriannya merancang untuk membina sebanyak 339 tapak liputan 5G di kawasan liputan berpenduduk, di Sarawak.

“Penggunaan 5G di kawasan tersebut diharap dapat menjadi pemangkin untuk mendukung agenda ekonomi digital kerajaan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan PerantiSiswa di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sarawak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata perkembangan pembinaan tapak tersebut akan terus dipantau dengan kerjasama agensi Kerajaan Sarawak.

Beliau turut meminta kerjasama dari Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk menjayakan usaha pelaksanaan pembinaan tapak berkenaan.

“Ini kerana semua fasiliti tersebut bergantung dengan keadaan bekalan elektrik yang stabil dan teratur,” katanya ringkas.

Pada majlis itu, lebih 500 pelajar dari pelbagai institusi melibatkan pelajar IPG Kampus Sarawak, IPTS, Kolej Vokasional dan Tingkatan Enam dari kelompok keluarga B40 menerima pakej PerantiSiswa.

Selain peranti berbentuk tablet jenama Samsung Galaxy Tab A8 LTE, pakej PerantiSiswa turut dilengkapi dengan papan kekunci bluetooth dan pen stylus beserta casing.

Suara Sarawak