DARO: Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi bayangan bahawa Ahli Parlimen yang pertama dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkemungkinan besar akan dikekalkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

Bayangan itu diucap beliau dalam Program Pemimpin Bersama Masyarakat yang diadakan di sebuah dewan terbuka di bandar baharu Daro, sebentar tadi.

“Dalam PBB, kita latih pemimpin kita dan kita letakkan mereka di kawasan persekutuan dan Dun boleh belajar selok-belok mengurus kawasan masing-masing.

“Bagi kawasan ini, kita bertuah kerana mempunyai ahli parlimen muda yang berkhidmat untuk satu penggal,” katanya.

Katanya lagi PBB akan memberi laluan kepada mereka sekurang-kurangnya berkhidmat selama dua penggal sebagai wakil rakyat.

Pada PRU-14, Ahmad Johnie mengekalkan kerusi Parlimen Igan selepas dicalonkan bagi menggantikan veteran politik Datuk Seri Abdul Wahab Dollah.

Ahmad Johnie yang mewakili BN menang dengan undiian 10,538 mengalahkan Andri Zulkarnaen Hamdan dari Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 2,043 undi dan majoriti undian sebanyak 8,495.

Suara Sarawak