SIAP SEDIA…Dr Annuar (duduk tengah) bersama ahli exco Cawangan PBB N.55 Nangka pada sidang media tersebut.

SIBU: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Dr Annuar Rapaee menyatakan kesediaannya jika dipilih menjadi calon di kerusi Parlimen Sibu demi kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketika ditanya pemberita mengenai perkara tersebut pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Cawangan PBB N.55 Nangka di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC) di Jalan Bandong pada malam tadi, beliau tetap akan berjuang tidak kira sebagai jeneral atau askar dalam perang PRU-15 kali ini.

“Saya ialah ahli parti, apa-apa sahaja posisi diberikan kepada saya, saya sedia terima untuk memastikan kemenangan GPS di Sibu.

“Takkanlah disuruh berperang tidak mahu berperang. Malulah! Tidak kira di posisi mana di dalam pasukan, saya akan menjadi perajurit.

“Justeru…saya memohon kepada penduduk Sibu pilihlah calon yang boleh berkhidmat,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I.

Pada PRU-15 ini, hanya Parti Sarawak Bersatu (PSB) sudah mengumumkan calonnya iaitu Presidennya sendiri Dato Sri Wong Soon Koh.

Oscar Ling Chai Yew dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) merupakan penyandang kerusi Parlimen P212 Sibu selama dua penggal.

Beliau mula memenangi kerusi Parlimen Sibu pada 2013 dalam PRU-13 dan diikuti PRU-14 pada 2018.

Kerusi Parlimen Sibu mula jatuh ke tangan pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2010 susulan kematian penyandangnya mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chiew dari BN-SUPP yang juga bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di kabinet kerajaan persekutuan pada era bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 2008.

Pada PRK itu, calon BN-SUPP yang kini Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew yang merupakan sepupu kepada mendiang Hoi Chiew tewas kepada calon DAP yang merupakan Pengerusi DAP Sarawak merangkap Adun Bukit Assek ketika itu Richard Wong Ho Leng.

Bagaimanapun pada PRU-13, Ho Leng tidak dicalonkan oleh partinya kerana masalah kesihatan dan DAP pada ketika itu mencalonkan Oscar yang merupakan pembantu khas kepada Ho Leng.

Ho Leng meninggal dunia pada 2015 akibat menderita menghidap kanser.

Pada PRU-15 ini, GPS difahamkan mempunyai tiga calon berpotensinya dari SUPP iaitu Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh, ahli perniagaan Daniel Sng dan peguam Tony Hii.

gambar1
SIAP SEDIA…Dr Annuar (duduk tengah) bersama ahli exco Cawangan PBB N.55 Nangka pada sidang media tersebut.

Suara Sarawak