DARO: Presiden Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan bahawa Ahli Parlimen yang pertama kali menyertai PBB berkemungkinan besar dikekalkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

“Dalam PBB, kita latih pemimpin dan letak mereka di kawasan persekutuan dan Dun supaya boleh belajar ‘selok-belok’ mengurus kawasan masing-masing.

“Bagi kawasan ini, kita bertuah kerana mempunyai ahli parlimen muda yang berkhidmat untuk satu penggal,” katanya berucap dalam Program Pemimpin Bersama Rakyat di sini semalam.

Abang Johari ketika sidang media di Daro

Katanya lagi, PBB akan memberi laluan kepada mereka sekurang-kurangnya berkhidmat selama dua penggal sebagai wakil rakyat.

Di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBB secara tradisinya bertanding di 14 kerusi persekutuan iaitu Santubong, Petra Jaya, Kota Samarahan, Puncak Borneo, Batang Sadong, Batang Lupar, Betong, Tanjong Manis, Igan, Mukah, Kapit, Sibuti, Limbang dan Lawas.

Untuk rekod, tiga Parlimen iaitu Igan, Tanjong Manis dan Mukah sebelum ini dimenangi calon BN dalam PRU-14.

Ketiga-tiga calon dari kerusi kawasan ini merupakan antara calon yang pertama kali menyertai PBB sebagai ahli Parlimen untuk tempoh sepenggal.

Bagaimanapun jelas Abang Johari, keputusan calon PBB yang akan bertanding dalam PRU-15 hanya akan terjawab pada hari penamaan calon.

Suara Sarawak