KUCHING: Seorang ahli perniagaan dijatuhi hukuman denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memberi rasuah.

Tertuduh Lee Wei, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Steve Ritikos selepas satu pertuduhan alternatif dibacakan terhadapnya.

Steve Ritikos menetapkan hukuman penjara enam bulan terhadap tertuduh sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan,dia didakwa memberikan wang tunai berjumlah RM2,000 kepada seorang pegawai polis berpangkat inspektor supaya tidak mengenakan tindakan undang-undang terhadap pekerjanya yang menyeludup minyak diesel untuk dijual.

Kedua-dua pekerja tertuduh merupakan warga tempatan itu telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 20(1) akta kawalan bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22 akta yang sama.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah bengkel kereta di Jalan Tan Sri Datuk Amar Wee Boon Ping, sekitar jam 9.30 pagi hingga 10 pagi, 8 Disember 2021.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Miller Jawoi manakala kes disiasat oleh Pegawai SPRM Muhammad Zikry Wahid.

Suara Sarawak