KUCHING: Padah memiliki harta curi empat buah telefon pintar dan kunci kereta milik rakannya, seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Hasrollah Salleh, 31, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki harta curi terbabit di sebuah pusat beli belah, Tabuan Jaya, di sini, sekitar jam 9.31 malam, 25 Oktober lepas.

Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan boleh dikenakan denda.

Zubaidah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini.

Menurut fakta kes, pada 25 Oktober lalu, sekitar jam 6 pagi, semasa pengadu baru bangun dari tidur menyedari barang-barang miliknya telah hilang iaitu seutas kunci kereta dan empat buah telefon pintar pelbagai jenama.

Anggaran kerugian yang dialami oleh pengadu lebih kurang RM300.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah menyimpan harta curi iaitu empat buah telefon pintar dan seutas kunci kereta milik pengadu. Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Suara Sarawak