KOTA SAMARAHAN: Regu jemputan Kuching, Ammirul Azzamuddinmullah Kamarol Zaman dan Abg Syazwan Abg Ishak berjaya merangkul juara beregu terbuka (Novis) Pertandingan Badminton Kampung Niup, semalam.

Pertembungan sengit menentang beregu Sanchez, Muhd Noorikhhuanni Sunip dan Tan Yang Soon menyaksikan perlawanan yang berlangsung hampir sejam ditentukan pada set ketiga.

HADIAH…Para pemenang merakam gambar kenang-kenangan selepas majlis penyampaian hadiah dihadiri KK Niup, Ahmad Mail (berdiri hujung kanan)

Kemenangan set pertama beregu dari Sebuyau dan Kampung Baru itu ternyata tidak kesampaian selepas akhirnya memihak kepada beregu wakil Kuching dengan keputusan akhir (21-14), (19-21), (12-21).

Bagi kategori Gabungan Umur 90 tahun pula, beregu pilihan, Affendi Merican dan Rozly Rahmat menepati ramalan sebagai juara dengan mengalahkan beregu dari Kota Samarahan, Halikul dan Nazit.

Ahmad Mail (kanan) menyerahkan medal dan hadiah kepada wakil Sanchez selaku tempat kedua kategori terbuka (novis)

Terdahulu, sebanyak 96 beregu dari sekitar kawasan Kota Samarahan dan beberapa beregu jemputan direkodkan melibatkan diri dalam kejohanan yang dianjurkan bermula Jumaat (7 Oktober).

Badminton Niup Kategori Terbuka (Novis) disertai sebanyak 64 regu lelaki, manakala kategori Gabungan 90 tahun disertai 32 regu hasil anjuran Kelab Badminton Kampung Niup dengan kerjasama Jawatankuasa Komuniti Kampung (JKKK) Niup serta Pemuda Kampung Niup.

JUARA…Para pemenang bagi kategori terbuka (Novis) dalam pertandingan Badminton Kampung Niup

“Tahniah kepada para pemenang, dan tidak lupa juga kepada sokongan daripada ibu bapa yang telah memberikan peluang kepada anak-anak muda untuk mengambil peluang turut serta dalam kejohanan ini,” kata Ketua Kampung Niup, Ahmad Mail kepada Suara Sarawak.

Sementara itu, wakil Kelab Badminton Kampung Niup (KNBC) merangkap wakil panganjur kejohanan, Andet Mahdi menzahirkan jutaan penghargaan kepada para peserta kerana telah memberikan kerjasama dalam kejohanan tersebut.

Suara Sarawak