DEBAK: Ribut petir yang membadai SK Saint Barnabas, Blassau yang berusia 65 tahun menyebabkan sebuah kuarters yang didiami kakitangan sekolah rosak teruk pada bahagian bumbung.

Dalam insiden kira-kira 3.30 petang semalam, cuaca buruk bersama angin kencang telah menyebabkan rangka bumbung dan kepingan atap tercabut.

KEADAAN kuarters kakitangan SK Saint Barnabas yang tidak beratap setelah dilanda ribut petir.

Menurut Guru Besar SK Saint Barnabas Dara Undu Reggie, insiden kali ini merupakan yang terburuk sejak sekolah ini dibina pada 1957.

“Ada sembilan keping atap telah diterbangkan oleh angin sejauh 20 meter,” katanya dihubungi Suara Sarawak, malam tadi.

POKOK tumbang di Pusa akibat angin kuat.

Guru besar yang sudah lima tahun berkhidmat di SK Saint Barnabas mengakui ini insiden pertama seumpamanya pernah berlaku.

Katanya lagi, insiden telah dilaporkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Betong serta Pejabat Pendidikan Daerah Betong untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan berasingan, Ketua Bomba dan Penyelamat Betong Vincent Baling Yabi mengesahkan terdapat beberapa tempat lain yang turut dilanda angin kencang.

Katanya, di Pusa terdapat pokok tumbang yang menghalang laluan, manakala di tapak Uptown Pusa, sebuah kanopi bersaiz 20×20 kaki turut tercabut dan terjatuh ke Sungai Rimbas.

Menurut salah seorang peniaga yang dikenali sebagai Sharkawi, cuaca buruk yang berlaku sangat menyeramkan serta menyebabkan banyak kerosakan.

Suara Sarawak