KUCHING: Undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang berkuat kuasa mulai hari ini (5 Oktober) memang perlu dilaksanakan.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MFICORD) Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata ia melibatkan integriti sebagai seorang wakil rakyat.

“Apabila kita mempunyai kehendak yang tinggi, keadaan lompat-melompat akan terjadi.

“Jika keadaan tersebut berlaku, ia menunjukkan bahawa individu yang melompat parti telah menganiayai kepercayaan rakyat yang memilih wakil pilihan.

“Justeru, saya sangat setuju apabila undang-undang ini dilaksanakan,” katanya.

Rundi ketika ditemu wartawan

Beliau berkata demikian ketika ditemu wartawan selepas menghadiri program Hari Integriti MFICORD 2022 di UCSI Hotel, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, individu telah diberi amanah sebagai wakil rakyat, tetapi memilih untuk lompat parti demi kepentingan masing-masing.

“Tanpa mereka sedari, kedudukan yang mereka miliki adalah disebabkan pilihan rakyat,” tegasnya ringkas.

Selasa (4 Oktober) lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan bahawa undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti berkuat kuasa esok hari ini.

Tarikh bagi penguatkuasaan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu turut diperkenan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan seksyen 1(2) dan seksyen 1(3) Akta A1663.

Suara Sarawak