Gambar hiasan

Politik sering dikaitkan dengan parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya sama di peringkat negeri mahupun negara bagi membentuk kerajaan menerusi mandat yang diberikan oleh rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khasnya mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu.

Keputusan itu dibuat selepas permintaannya untuk membubarkan Parlimen selari dengan peruntukan undang-undang mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas sesi menghadap Baginda di Istana Negara pada 9 Oktober 2022.

Dengan pengumuman itu, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas dibubarkan, namun setakat ini belum ada sebarang kenyataan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh-tarikh penting pilihan raya.

Buta politik

Memang diakui, sebelum terlibat secara langsung dalam dunia kewartawanan, saya ‘buta politik’, tidak pernah ambil tahu tentang perkembangan politik tanah air, negara mahupun negeri.

Jauh sekali untuk mendaftar sebagai pengundi, beberapa edisi pilihan raya telah diadakan, namun tidak pernah sekalipun saya turut serta sebagai pengundi.

Mana tidaknya, kerana tidak berminat dengan dunia politik, apatah lagi hendak mengetahui secara terperinci mengenai perkembangan dan landskap politik khususnya di Sarawak.

Sifat tidak ambil peduli terhadap dunia politik yang ada pada saya akhirnya memberi tamparan yang hebat semasa saya ditugaskan menjadi wartawan atas talian.

Nak dijadikan cerita, pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak, Disember tahun lalu, saya ditugaskan membuat liputan di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuching.

Tugasan itu agak berat bagi saya, maklumlah pertama kali, lebih-lebih lagi baharu menapak dalam dunia kewartawanan, ditambah lagi dengan liputan politik yang sebelum ini tidak diendahkan.

Buntu, risau, dan takut. Itu antara perasaan bercampur yang dihadapi. Namun saya ambil ia sebagai satu cabaran baharu.

Cuba anda bayangkan apa yang hendak saya tulis ketika itu, sedangkan mengetahui tentang parti politik sahaja saya tidak tahu.

Sebelum ini, bagi segelintir pihak otak kita hanya ‘disuap’ dengan pengetahuan, negara ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) selama 60 tahun sebelum mengalami kekalahan pada 2018 dan diperintah oleh Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Namun, ia tidak bertahan lama, pemerintahan 22 bulan kerajaan PH disifatkan gagal sekaligus menyaksikan kemelut politik Malaysia yang berakhir kepada pertukaran kerajaan susulan Langkah Sheraton.

Di sebalik perkembangan itu, saya mulakan ‘kerja rumah’ dan belajar tentang politik melalui parti terutamanya dalam soal pilihan raya.

Bermula dengan parti, calon-calon bertanding, latar belakang, sejarah penglibatan politik serta kejayaan dalam pilihan raya.

Bacaan demi bacaan tentang politik saya buat, menghafal nama calon, kawasan yang diwakili serta pencapaian dalam pilihan raya terdahulu pun turut diambil kira termasuk data-data penting.

Walaupun sukar untuk dihadam pada awalnya, namun ia perlu dilakukan demi mendalami topik berkenaan walaupun tidaklah sehebat penulis veteran, mahupun mengulas secara terperinci seperti penganalisis politik.

Bagi saya, cukup sekadar pengetahuan berbanding sifar ilmu tentang landskap politik.

Kitab suci

Salah satu perkara yang menarik perhatian saya ketika membuat liputan semasa pilihan raya ialah, bagaimana sesebuah parti untuk menabur ‘janji’ atau lebih tepat manifesto rancangan yang ditawarkan kepada rakyat.

Manifesto bukan kitab suci. Ya betul. Walaupun bukan kitab suci, tetapi tidak bermakna ia bukan janji yang perlu ditepati, perlu diingat, janji mesti dikotakan.

Kerana ia digunakan sebagai ‘senjata’ untuk menarik perhatian rakyat memilih anda sebagai wakil mereka di Dewan Rakyat mahupun DUN.

Jangan lupa, undi rakyat itu jugalah menjadi senjata untuk menjatuhkan pemimpin yang gagal mengotakan janji sebelum ini khususnya semasa berkempen.

Justeru, pada pandangan saya, rakyat perlu bijak dalam membuat pemilihan, peringatan kepada diri saya juga sebenarnya apabila turun menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi kelak.

Begitu juga generasi baharu, khususnya golongan belia. Selepas diluluskan Akta Undi18 sebelum ini, dibentang dan dibahas di Parlimen dan DUN, akhirnya ia dikuat kuasakan secara rasmi.

Belia berusia 18 tahun sudah layak untuk mendaftar sebagai pengundi. Menariknya, kali ini kumpulan sasar tersebut didaftarkan secara automatik.

Sudah pasti ia bakal menjadikan pilihan raya kali ini lebih menarik dengan penglibatan para belia secara langsung dalam pemilihan parti-parti yang akan membentuk kerajaan baharu.

Tsunami tumbangkan BN

Sebelum ini, kekalahan BN dikaitkan dengan ‘tsunami’ rakyat yang mahukan perubahan dan pertukaran, jadi dengan perkembangan baharu melibatkan belia dan Undi 18, adakah golongan itu akan menjadi ‘ombak’ besar yang akan membawa perubahan sekali lagi? Itu sama-sama kita lihat bagaimana kesudahannya nanti.

Dalam konteks Sarawak pula, sejauhmana PRU-15 memberi kesan kepada Sarawak secara keseluruhan. Umum tahu bahawa Sarawak kini ditadbir oleh kerajaaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terdiri daripada empat parti komponen.

Ia adalah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Selepas mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada Jun 2018, empat komponen tersebut membentuk GPS yang bebas dari mana-mana pakatan parti politik di negara ini.

Dengan 19 kerusi Parlimen yang dimenangi daripada 31 kerusi pada PRU14, GPS dilihat memainkan peranan penting dalam menentukan pembentukan kerajaan di peringkat nasional.

Sarawak ‘King Maker’

Sedikit pemahaman saya mengenai perkara ini, Sarawak dilihat memiliki satu kuasa penentu atau bahasa mudahnya, ‘King Maker’.

Bermaksud, Sarawak mempunyai pendirian untuk menyokong kerajaan persekutuan yang dibentuk dengan syarat, memberikan pulangan dari segi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara.

Maka secara tidak langsung, Sarawak berupaya memberikan sokongan kepada sesiapa sahaja yang mampu menjaga kebajikan lebih 2.8 juta rakyat negeri ini dan pada masa sama meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan.

Contohnya, ketika pandemik, selain digelar sebagai negeri paling tegas dalam SOP dan tawaran norma baharu, kerajaan Sarawak sangat komited dalam membantu rakyat.

Pelbagai bantuan yang dihulurkan, tiada rusuhan, malah rakyat Sarawak diberikan hotel percuma semasa kuarantin dan rakyat Sarawak juga memberikan kerjasama yang luar biasa bagi membanteras penularan Covid-19 ketika itu.

Yang mana pilihan kita untuk PRU-15 kelak ? Undi adalah rahsia namun kita mempunyai hak untuk menentukan dan membuat pilihan sendiri.

Apa yang penting, buat pilihan dengan bijak, demi masa depan yang lebih cerah, pembangunan yang mampan, serta kesejahteraan rakyat yang terjamin.

Kepada pemerintah, laksanakan tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan cemerlang demi rakyat, sesungguhnya, rakyat penentu jatuh bangun hidup anda sebagai pemimpin.

Suara Sarawak