KUCHING: Amerika Syarikat (AS) komited untuk melabur demi pembangunan masa depan Sarawak khususnya dalam pemerkasaan belia, tenaga boleh diperbaharui dan pemuliharaan alam sekitar.

Duta Besar AS ke Malaysia, Brian McFeeters berkata, beliau teruja untuk mengukuhkan kerjasama antara pemimpin negara tersebut dengan negeri ini terutamanya untuk bersama-sama memerangi krisis iklim dunia.

“Malah semasa kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam, saya menyatakan komitmen Kerajaan A.S. untuk melibatkan diri dengan
Sarawak dalam agenda tenaga bersih dan memerangi krisis iklim.

“Abang Johari juga menyatakan cita-cita tinggi Sarawak untuk menyediakan tenaga boleh dipercayai dan boleh diperbaharui kepada rantau ini dan saya memberitahu AS boleh menyokong mencapai matlamat tersebut dengan menyediakan kepakaran dalam teknologi hijau dan pembangunan infrastruktur,” katanya.

Brian McFeeters menyiram pokok sebagai simbolik usaha memerangi krisis perubahan iklim di Pusat Biodiversiti Sarawak, di Kuching, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Bersama Media sempena Lawatan Kerja Tiga Hari (5 hingga 7 Oktober) ke Kuching, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya Kerajaan AS fokus terhadap keselamatan tenaga dan pihaknya sedang meneroka potensi membiayai atau menyediakan tenaga pakar teknikal untuk menyokong Sarawak Energy (SEB) dalam projek-projek berkaitan tenaga hijau dan solar.

Sementara itu, ketika lawatan ke Perbadanan Perhutanan Sarawak dan Pusat Biodiversiti Sarawak, semalam, beliau berkata pihaknya membincangkan usaha kolektif untuk meningkatkan pemuliharaan hutan dan memelihara biodiversiti unik negeri ini.

“Kerjasama ini dapat memperkukuhkan kerjasama kita termasuk menyediakan bantuan teknikal dan kepakaran dalam perhutanan dan perubahan iklim.

“Kita juga tidak sabar untuk memperkukuh hubungan saintifik, perniagaan dan akademik antara AS dan institusi-institusi Malaysia untuk memerangi krisis iklim,” jelasnya.

Suara Sarawak