Fadillah ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program larian amal M7 Puzzle Run 1/4 di SJK Chung Hua Batu 7 Jalan Matang.

KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) bersiap sedia mengerakkan aset mereka sekiranya berlaku banjir ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, JKR akan menyediakan kemudahan logistik dan pengangkutan untuk tujuan itu.

“Kalau berlaku tanah runtuh ataupun jambatan putus dan sebagainya, kita kena bersiap-siap menghadapinya,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan program larian amal M7 Puzzle Run 1/4 di SJK Chung Hua Batu 7 Jalan Matang, di sini, hari ini.

Selain itu katanya, di peringkat persekutuan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah bersiap siaga dengan kemungkinan banjir.

Tambahnya, begitu juga di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak yang dipengerusikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB).

Terdahulu, Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Sarawak Khairul Najib Ibrahim ketika dihubungi berkata, Malaysia dijangka mengalami cuaca ribut petir pada sebelah petang hingga awal malam pada hari penamaan calon dan PRU-15 kelak.

Beliau menjelaskan, Malaysia berada dalam Monsun Timur Laut (MTL) pada tempoh tersebut dan ia dijangka bermula pada pertengahan November 2022.

“Namun begitu bagi Sarawak, impak dari MTL hanya dapat dirasai pada penghujung Disember 2022,” ujarnya.

Suara Sarawak