KUCHING: Sebagai sebuah syarikat yang baharu berusia lima tahun, Petroleum Sarawak Berhad (Petros) telah berjaya mencatatkan pencapaian signifikan apabila meraih pendapatan sebanyak RM1.2 bilion pada tahun lalu.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, malah Petros antara barisan syarikat berbilion ringgit dengan prestasi kewangan yang teguh dan mendapat penarafan AAA daripada RAM Ratings.

“Syarikat minyak negeri itu juga telah mengembangkan ekuitinya dalam asas sumber hidrokarbon iaitu ruang penerokaan dan pengeluaran luar pesisir dengan masing-masing mempunyai tiga kontrak perkongsian.

Abang Johari melihat pencapaian Petros pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-5 Petros di Kuching, malam tadi.

“Justeru, kita semua harus berbangga dengan pencapaian Petros setakat ini serta sasaran beraninya dalam merebut beberapa peluang lain ketika baharu meraikan ulang tahun kelima penubuhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Ulang Tahun Ke-5 Petros di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam tadi.

Menurut Abang Johari, semasa beliau mengambil alih kepimpinan kerajaan pada 2017, Petros adalah entiti pertama yang ditubuhkannya untuk memenuhi aspirasi rakyat supaya mereka dapat menikmati kekayaan sumber asli negeri ini.

“Penubuhan syarikat ini adalah untuk menjadi peneraju penyertaan Sarawak dalam eksploitasi secara agresif sumber minyak dan gas, pada masa yang sama menjaga kepentingan negeri ini.

“Sekali gus menghilangkan pandangan dan tanggapan “negeri kaya tetapi miskin”. Sumber minyak dan gas kita perlu dibangunkan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat, kualiti prasana dan kemudahan asas negeri sejajar dengan visi menjadi sebuah ekonomi maju berpendapatan tinggi menjelang 2030,” tegasnya.

Suara Sarawak