Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (Sheda) Datuk Sim Kiang Chiok.

KUCHING: Bajet 2023 yang dibentang semalam dilihat menyokong pemilikan rumah di Malaysia, kata Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (Sheda) Datuk Sim Kiang Chiok.

Menurutnya, ia kerana pada ketika ini kadar faedah pemilikan rumah masih lebih rendah berbanding tempoh sebelum pandemik Covid-19.

“Pengecualian duti setem untuk rumah di bawah RM500,000 dan kini diskaun 75 peratus untuk duti setem bagi rumah berharga dari RM501,000 hingga RM1 juta adalah peluang baik untuk membeli rumah.

“Peluang pekerjaan baharu juga dicipta untuk meningkatkan permintaan pembelian rumah. RM10 duti setem untuk pemindahan hak milik rumah antara ahli keluarga juga dilihat baik untuk ekonomi.

“Rangsangan ekonomi juga akan membantu meningkatkan lebih banyak permintaan tersebut,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Sim turut berpendapat bajet berkenaan sangat komprehensif, serta inklusif kerana ia menyediakan bantuan secara menyeluruh untuk semua sektor masyarakat.

“Bajet ini dilihat membantu golongan B40 dengan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang dipertingkatkan dengan RM7.8 bilion untuk 8.7 juta orang

“Termasuk pengurangan cukai pendapatan sebanyak dua peratus untuk kumpulan pendapatan dari RM50,000 hingga RM100,00, yang akan memberi manfaat kepada 1 juta orang golongan M40.

“Ini adalah bajet yang baik yang merangkumi semua sektor masyarakat dan untuk membantu negara terus pulih selepas pandemik Covid-19,” jelasnya.

Suara Sarawak