Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUCHING: Bajet 2023 perlu dibuat secara menyeluruh dan tidak terhad kepada manfaat untuk pekerja sektor awam sahaja.

Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Sarawak Chung Fui San berkata, perkara tersebut kerana tahun hadapan dijangka berlaku kegawatan ekonomi.

“Oleh itu, para pekerja sektor swasta juga perlu dibantu selain daripada penetapan gaji minima sebanyak RM1,500 yang telah diluluskan oleh kerajaan.

“Manfaat kewangan sampingan seperti Elaun COLA (Sara Hidup) mungkin boleh diberikan kepada pekerja-pekerja di sektor swasta bagi membantu kelangsungan hidup golongan tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Bajet 2023 melibatkan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion dengan RM272.3 bilion digunakan untuk kos pentadbiran, RM95 bilion bagi kos pembangunan, RM5 bilion dana Covid-19 dan RM2 bilion lagi disediakan sebagai Simpanan Luar Jangka.

Dalam pada itu, katanya MUTC Sarawak menyambut baik Bajet 2023 tersebut.

“Bagaimanapun, peruntukan untuk n negeri ini perlu diperbanyakkan lagi disebabkan oleh keluasan negeri ini.

“Jika dilihat setiap tahun Sabah akan mendapat peruntukan yang lebih besar berbanding Sarawak,” ujarnya.

Mengulas lanjut, katanya peluang pekerjaan juga perlu ditambah untuk membantu rakyat n dan negeri ini sekali gus mengurangkan jumlah pengangguran.

“Peningkatan jumlah graduan di Sarawak perlu seiring dengan mewujudkan lebih banyak lagi peluang pekerjaan bagi menghadapi masalah kegawatan ekonomi dan sosial di Malaysia,” tegasnya.

Suara Sarawak