Yusuf Abd Wahab (tiga kanan) dan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh (dua kiri) menunjukkan sebahagian barangan keperluan asas yang dijual pada PJKM di Kampung Belawai.

SARIKEI: Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab berharap lebih banyak peruntukan disalurkan kepada Sarawak dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Parlimen Jumaat depan.

Beliau berkata, ia berikutan kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak amat memerlukan peruntukan besar demi kelangsungan pembangunan yang dapat memanfaatkan rakyat di kawasan itu bagi tempoh jangka panjang.

Merujuk kepada kawasannya di Tanjong Manis, beliau menegaskan, lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi memastikan penduduk di kawasan itu tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

“Antaranya ialah pembinaan jalan raya, sistem telekomunikasi, bekalan air bersih dan lain-lain.

“Projek –projek ini amat diperlukan oleh rakyat terutama di kawasan yang jauh di pedalaman Tanjong Manis,” katanya ketika ditemui ketika hadir pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Kampung Belawai, di sini, semalam.

Sehubungan itu, Yusuf berharap agar belanjawan kali ini lebih mesra rakyat, mesra kebajikan dan mesra bantuan bagi memulihkan ekonomi rakyat khususnya selepas pasca-Covid-19.

Malah katanya, pengurusan dalam segenap aspek khususnya kepentingan rakyat perlu terus diutamakan sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia.

“Harapan saya, lebih banyak peruntukan disalurkan untuk pembangunan di Sarawak. Seperti yang sedia maklum, Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan pembangunan sebanyak RM4.6 bilion kepada negeri ini.

“Saya berharap kita akan mendapat lebih banyak daripada jumlah itu. Ini sangat penting untuk membantu kita meneruskan agenda pembangunan yang dirancang kerana masih ramai rakyat khususnya di kawasan saya memerlukannya,” ujarnya.

Suara Sarawak