KUCHING: Sarawak menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM5.4 bilion di bawah Bajet 2023, sekali gus menyaksikan pertambahan sekitar RM800 juta.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Sabah dan Sarawak terus meraih manfaat besar daripada peruntukan pembangunan negara iaitu masing-masing sebanyak RM6.3 bilion dan RM5.4 bilion.

“Peruntukan ini antaranya untuk melaksanakan projek infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan pendidikan,” katanya ketika Pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Peruntukan itu meningkat hampir RM2 bilion berbanding belanjawan tahun lalu yang menyaksikan kedua-dua negeri tersebut menerima RM5.2 bilion dan RM4.6 bilion.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kemudahan infrastruktur akan terus ditambah baik pada tahun depan dengan sejumlah RM2.55 bilion disediakan dengan tumpuan kepada Sabah dan Sarawak bagi memastikan kesejahteraan rakyat luar bandar.

“Ia termasuk melaksanakan projek Lebuhraya Pan Borneo yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2024 untuk manfaat rakyat Sarawak,” ujarnya.

Mengulas lanjut, katanya kerajaan turut akan meneruskan projek pembangunan Pusat Hab Halal Tanjung Manis, Sarawak yang dijangka siap pada tahun depan dengan peruntukan 59 juta ringgit, manakala projek Infrastruktur Bekalan Air Samalaju, Bintulu Fasa 3 pula akan menerima peruntukan sebanyak 100 juta ringgit.

Suara Sarawak