KUCHING: Ketua jurulatih Sarawak United FC (SU FC) S. Balachandran tidak meletak sebarang sasaran kepada pemainnya pada kempen Piala Malaysia 2022 yang akan bermula hujung bulan ini.

Sebaliknya, menuntut barisan pemain sedia ada mempamerkan permainan hebat yang boleh mencetus kejutan terhadap pasukan lawan yang bakal ditentang kelak.

“Kita sudah bersedia untuk menghadapi saingan piala berprestij (Piala Malaysia 2022).

“Meskipun sedar tekanan bakal dihadapi barisan pemain, namun percayalah peluang untuk semua pasukan melakukan kejutan tetap terbuka,” ujar Bala kepada Arena Suara Sarawak.

FOKUS LATIHAN…Pemain Sarawak United fokus kepada sesi latihan

Beliau akui suasana untuk saingan piala berprestij itu agak berbeza berbanding perlawanan biasa membabitkan liga.

Justeru, Bala percaya semangat juang yang ditampilkan pemainnya juga nanti pasti berbeza.

Dalam pada itu Bala menambah, tempoh masa dua minggu yang ada akan dimanfaatkan untuk memperkemas jentera pasukannya.

“Masa yang ada akan diguna untuk memperkemas jentera disemua posisi,” jelas beliau lagi.

Suara Sarawak