DR SIM, Lim Khee Shin merakam kenangan bersama-sama ketua-ketua agama lain di Miri, semalam.

MIRI: Sarawak mempunyai masa depan yang cerah kerana mempunyai kepelbagaian sumber untuk meningkatkan ekonomi yang memanfaatkan negeri dan rakyatnya.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak berpeluang menjadi negara maju seperti Singapura yang tidak mempunyai sumber namun boleh menjadi negara yang makmur.

“Korea tidak mempunyai minyak dan gas, namun boleh menjadi pengeluar bahan kimia industri utama dunia, kenapa tidak Sarawak yang masih mempunyai banyak minyak dan gas?

“Disebabkan itu, Sarawak mengambil langkah menambah nilai sumbernya dan bukannya mengeksport bahan mentah semata-mata dengan memanfaatkan produk hiliran untuk menghasilkan produk daripada minyak dan gas seperti metanol, ammonia dan hidrogen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Kesyukuran Anjuran Agama-Agama Lain bersempena dengan Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-86 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Eastwood Valley Golf and Country Club di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Sementara itu Abang Johari berkata, Sarawak perlu membangunkan bakat dalam kalangan rakyat supaya mempunyai pengetahuan dan kemahiran mengendalikan industri baharu menggunakan data dan teknologi masa kini.

“Sumber kita bukan sahaja terhad kepada sumber asli bahkan masyarakat kita merupakan sumber yang paling penting.

“Disebabkan itu, Sarawak mengambil inisiatif mempunyai empat universiti swasta dan mewujudkan Sekolah Antarabangsa demi melahirkan sarjana bertaraf dunia.

“Dan semua ini tidak boleh berlaku jika kita tidak bersatu dan tidak fokus kepada objektif untuk menjadi negeri maju di mana rakyatnya boleh menikmati pendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

Sekitar 350 tetamu hadir ke majlis doa kesyukuran itu yang bertujuan mengumpul institusi agama-agama lain untuk mendoakan kesejahteraan Tun Abdul Taib Mahmud.

Ia melibatkan bacaan doa oleh pemimpin agama Baha’i, Hindu, Kristian, Tao, Buddha dan Sikh. Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lim Khee Shin turut hadir.

Suara Sarawak