MIRI: Adun Telang Usan Dennis Ngau menyifatkan banjir pada kali ini luar biasa kerana beberapa buah kampung di Long Bedian yang tidak pernah dilanda banjir turut terjejas.

Katanya, kawasan Telang Usan sering dilanda banjir setiap tahun, namun berbeza tahun ini kerana kampung yang tidak pernah banjir turut terjejas ekoran hujan lebat yang luar biasa.

Suasana banjir di kawasan Telang Usan

“Setakat ini, tiada isi rumah yang dipindahkan ke tempat pemindahan sementera kerana rumah panjang di sini kebanyakannya dua tingkat. Apabila berlaku banjir, mereka akan naik ke atas,” katanya semasa dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Tegasnya, walaupun tiada pemindahan berlaku, beliau meminta pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Anggota Pertahanan Awam (APM) untuk memantau keadaan banjir di kampung-kampung yang terjejas.

Suasana banjir di kawasan Telang Usan

“Dari segi bantuan makanan, kita serahkan kepada pihak kebajikan yang sememangnya sudah bersedia untuk menghadapi situasi seperti ini,” katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika menggunakan jalan yang dinaiki air kerana beliau menerima mesej daripada aplikasi Whatapps menyatakan beberapa jalan terputus dan hakisan tanah berlaku.

Suasana banjir di kawasan Telang Usan

“Saya faham situasi apabila perjalanan ke satu-satu kawasan dalam Telang Usan ini mengambil masa yang panjang dan ada pemandu yang mengambi risiko meredah jalan tanpa menghiraukan keselamatan diri dan penumpang.

“Nasihat saya, supaya mereka ini patah balik atau sekiranya perlu meneruskan perjalanan harus menunggu sehingga air surut terlebih dahulu,” tegasnya lagi.

Suara Sarawak