KUCHING: Berakhirlah tugas sebagai menteri dan Ahli Parlimen Santubong yang disandang selama empat penggal sejak tahun 2004 susulan pembubaran parlimen kata Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurutnya, beberapa perubahan signifikan di dalam Perlembagaan Persekutuan berjaya dilaksanakan walaupun dalam tempoh singkat.

“Kira-kira 13 bulan menggalas jawatan Menteri yang menjaga Undang-undang dan Parlimen, tiga tugasan besar sempat saya sempurnakan.

Perutusan khas penyandang Ahli Parlimen Santubong

“Ia termasuk Pindaan Perlembagan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Larangan bertukar parti kepada Ahli Dewan Rakyat dan Pelaksanaan Undi 18.

“Selain itu, beberapa tindakan susulan terhadap Laporan Pasukan Petugas Khas, Laporan Pasukan Petugas Khas bagi semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, Siasatan Kes Kematian Allahyarham Muhammad Adib Bin Mohd Kassim dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pengundi di kawasan Santubong kerana memberi kepercayaan kepada dirinya untuk menjadi wakil rakyat selama empat penggal sejak tahun 2004.

Ujarnya, jumlah undi menyokong dan majoriti terhadap dirinya sentiasa bertambah setiap kali PRU dan menjadi pemangkin semangat kepada beliau untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Semoga khidmat bakti saya selama ini dapat memberi kebaikan kepada anda semua. Saya juga memohon jutaan kemaafan di atas segala kekurangan daripada pihak saya dan juga kakitangan pejabat di Pusat Khidmat Ali Parlimen Santubong,” luahnya.

Suara Sarawak