REMAN: bapa durjana (suspek) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret oleh anggota polis di sini, hari ini, selepas menerima perintah lanjutan reman.

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini hari ini, melanjutkan tempoh tahanan reman selama tujuh hari terhadap seorang bapa yang disyaki menjual anak perempuannya berusia 10 tahun kepada rakannya untuk aktiviti seksual.

Majistret Zaiton Anuar membenarkan lanjutan tahanan reman terhadap suspek berusia 45 tahun bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap suspek selepas tempoh tahanan reman selama lima hari berakhir hari ini.

Suspek pertama dilanjutkan reman bermula hari ini sehingga 10 Oktober depan.

Sementara itu, suspek kedua berusia 44 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula dari 30 September 2022 sehingga 6 Oktober depan.

Difahamkan, suspek kedua berjaya ditahan oleh pihak polis pada 29 September lalu.

Berdasarkan laporan media terdahulu, permohonan reman telah difailkan di Mahkamah Kuching terhadap suspek pertama pada 30 Oktober lepas.

Mangsa telah memaklumkan tindakan bapa kandungnya itu kepada gurunya sebelum membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad menyatakan bahawa suspek pertama berjaya ditahan pada 27 September lalu, sekitar jam 2 petang di kawasan Matang di sini oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan.

Kes disiasat di bawah seksyen yang berbeza iaitu Seksyen 31(1)(b) Akta
Kanak-Kanak 2001 kerana melakukan pengabaian kanak-kanak dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana jenayah rogol ke atas kanak-kanak.

Suara Sarawak