KEKAL FOKUS….Pemain Kuching City, Muhammad Adam Shreen Tambi (depan) mengemudi rakan-rakannya semasa latihan

KUCHING: Meskipun beraksi digelanggang lawan, ia bukan halangan bagi pemain Kuching City FC (KC FC) untuk cuba melakukan kejutan ke atas Pulau Pinang FC pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bandaraya Pulau Pinang malam esok.Sebaliknya, pengemudi The City Boys itu melihat peluang untuk anak-anak buahnya meraih keputusan positif tetap ada.

“Kami berdepan pasukan dari Liga Super (Pulau Pinang). Memang cabaran menanti agak berat, akan tetapi saya yakin kami mampu melakukan kejutan,” jelas Irfan kepada Arena Suara Sarawak.

Apa yang perlu diberi tumpuan jelas beliau, pemain diingat agar tidak alpa dan melakukan kesilapan yang boleh mengundang musibah sebaliknya.

“Pemain diharap dapat fokus sepanjang perlawanan malam esok. Saya memberi peringatan kepada mereka agar elak dari melakukan kesilapan mudah.

“Yang penting sekali perlu bijak memanfaat peluang di depan gol,” tambah Irfan.

Dalam pada itu, aksi malam esok beliau akan menurunkan barisan kesebelasan utama terbaik untuk memastikan misi beroleh kemenangan tercapai.

“Rekod tanpa kalah pada tujuh perlawanan terakhir dalam kempen Liga Premier 2022 akan menjadi penanda aras untuk kami menghadapi perlawanan malam esok,” tambah Irfan lagi.

Suara Sarawak