KUCHING: Daerah Bau dan Lundu akan diserikan lagi dengan lebih banyak acara festival pada masa akan datang bagi meningkatkan sosioekonomi penduduk tempatan.

Timbalan Menteri Pengangkutan II, Datuk Henry Harry Jinep berkata, pelbagai aktiviti dan rancangan berterusan bakal dilaksanakan khususnya di sempadan Serikin untuk tarikan pengunjung luar.

“Seperti beberapa acara yang dilaksanakan dalam beberapa bulan ini termasuk Festival Tasik Biru 2022 telah berlangsung dengan jayanya di Pekan Bau dan mampu menarik ramai pengunjung serta melonjakkan ekonomi,” katanya.

ADUN Tasik Biru itu berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Festival Muzik Desa Siniawan 2022 di Siniawan, malam tadi.

GEGAR…1. Henry Harry Jinep (tengah) dan Miro menyanyikan lagu “Country Road” yang terkenal selepas perasmian.

Tambahnya, sekiranya perayaan diadakan dari Tasik Biru ke Sematan, kemudian ke Puncak Borneo dan Serian, ia akan merangsang lebih banyak aktiviti sosioekonomi tempatan dan secara tidak langsung membantu rakyat menjana pendapatan.

Beliau dalam pada itu menegaskan Festival Muzik Desa sempena Oktoberfest itu berjaya menjadikan pekan warisan Siniawan sebagai pusat tarikan.

“Siniawan tidak lagi terpencil, ia sudah pun berada di peta dunia sebagai festival muzik Barat terbaik di Malaysia, anda tidak akan menemui tempat seperti ini di lokasi lain,” katanya.

Untuk itu, katanya, Festival Muzik Desa akan diadakan setiap tahun mulai tahun ini, selepas dihentikan selama dua tahun sebelumnya berikutan wabak itu.

Majlis turut dihadiri Ahli Parlimen Puncak Borneo dan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serembu Miro Simuh.

Suara Sarawak