SEMATAN: Masyarakat Islam di negeri ini diseru untuk turut sama membantu golongan yang kurang bernasib baik dengan menunaikan kewajipan membayar zakat.

Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, masyarakat juga boleh menyumbang dalam menjayakan program-program akan datang pihaknya menerusi bantuan kewangan mahupun makanan.

“Kita menyeru kepada masyarakat Islam dan agensi luar di seluruh Sarawak untuk bersama-sama menunaikan kewajipan dan tanggungjawab terhadap agama dengan membantu mereka yang kurang berkemampuan.

Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie nenyerahkan replika cek bantuan pada Majlis Penyerahan Bantuan Am Masjid/Surau TBS bertempat di Surau Kem Sematan Batalion 3 Rejimen 511 Askar Wataniah, di Sematan, hari ini.

“Dalam pada itu, jutaan terima kasih kepada pembayar-pembayar zakat kerana memberi kepercayaan yang tinggi kepada TBS dalam urusan pengagihan zakat kepada asnaf yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Am Masjid/Surau TBS bertempat di Surau Kem Sematan Batalion 3 Rejimen 511 Askar Wataniah, di sini, hari ini.

Bantuan tersebut diserahkan kepada Komander Rejimen 511 Askar Wataniah Brig Jen Abang Mohamad Abang Marzuki dan disaksikan oleh Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia, Brig Jen Mohd Kamil Abd Latif.

Mengulas mengenai majlis tersebut, beliau memberitahu TBS menyalurkan sejumlah RM5,400 bagi kemudahan dan keperluan surau di kem berkenaan di bawah Program Membangunkan Institusi Islam.

Suara Sarawak