KUCHING: Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan menyaksikan beberapa muka baharu mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menurut ahli parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof, terdapat beberapa ahli parlimen dalam GPS yang menawarkan diri untuk tidak bertanding pada PRU15.

“Saya tidak memiliki jumlah tepat atau peratusan ahli yang memutuskan untuk tidak bertanding, tetapi sememangnya akan ada muka baharu pada PRU akan datang ini.

Fadillah ketika menyerahkan hadiah kepada salah seorang peserta ketika Program Rindok Ati: Media Bersama Komuniti Petra Jaya

“Namun, kita serahkan kepada pengerusi (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) untuk menentukan siapa yang akan berada dalam barisan calon mewakili GPS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Rindok Ati: Media Bersama Komuniti Petra Jaya di Dewan Kampung Pinang Jawa, Gita, di sini, hari ini.

Susulan itu, beliau mendedahkan bahawa GPS sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya yang mungkin berlaku pada bila-bila masa.

“Tidak kira sama ada ia diadakan pada tahun ini atau tahun depan… yang penting kita semua bersedia.

“Kita juga telah mengarahkan jentera untuk sentiasa bersiap sedia kerana pilihan raya boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya.

Suara Sarawak