Belia peneraju masa depan Sarawak

KUCHING: Golongan belia Sarawak merupakan peneraju pembangunan negeri ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan dasar Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 dengan pembangunan bakat salah satu perkara yang diberikan penekanan.

“Sarawak memiliki lima institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak; Universiti Curtin; Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Universiti i-CATS (iCats) dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs).

“Jadi terpulang kepada anda, golongan belia untuk memilih mana-mana universiti ini bagi meningkatkan kebolehan diri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis perasmian Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Dataran Perayaan Petra Jaya, dekat sini, hari ini.

Menjelaskan lanjut mengenai pembangunan bakat, Abang Johari memaklumkan bahawa Sarawak mahu rakyat khususnya golongan belia mengembangkan bakat dalam semua bidang termasuk kesukarelawanan, pembangunan ekonomi, sukan, industri kreatif dan muzik.

“Dengan mempunyai bakat sebegini, insya-Allah menjelang 2030, Sarawak akan menjadi negeri termaju dan berpendapatan tinggi di Malaysia.  Jadi, marilah kita bekerjasama untuk masa hadapan  negeri ini,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, Abang Johari memaklumkan Kerajaan Sarawak juga akan terus menyediakan kemudahan pembangunan sukan untuk memastikan kejayaan dapat terus diraih dalam bidang tersebut pada masa akan datang.

Abang Johari merakam swafoto bersama-sama para belia yang hadir. Turut kelihatan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

 

Suara Sarawak