Foto fail

KUCHING: Gara-gara tidak puas hati kereta mewah yang baharu dibeli selalu rosak, seorang lelaki bertindak agresif menampar seorang wanita yang bekerja sebagai ketua jurujual di sebuah syarikat pengedar kereta mewah.

Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM1,200 atau sebulan penjara terhadap Hern, 36, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, kerana sengaja mencederakan mangsa wanita berusia 41 tahun dengan menampar pipi sebelah kiri.

Dia melakukan perbuatan itu di premis syarikat mengedar kereta mewah di Jalan Tun Jugah, sekitar jam 1.15 petang, 15 Oktober lalu.

Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, tertuduh telah datang ke kaunter khidmat pelanggan premis terbabit lalu memarahi mangsa kerana sering tidak menjawab panggilan telefon tertuduh yang bertanya mengenai kerosakan keretanya.

Berang tidak dilayan, tertuduh bertindak menumbuk meja dan menampar pipi sebelah kiri mangsa. Malah, tertuduh juga menolak kepala mangsa sebanyak dua kali menggunakan jari telunjuk.

Difahamkan, punca kejadian kerana tertuduh tidak puas hati dengan perkhidmatan pusat servis terbabit kerana kereta mewah yang baru dibelinya sering rosak walaupun telah banyak kali dihantar untuk dibaiki.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak