KUCHING: Kontinjen Para Sukma Sarawak berangkat ke ibu negara pagi tadi bagi mengharungi temasya Sukan Para Sukma XX MSN, Kuala Lumpur 2022.

Sekali gus, bermula misi pemburuan gelaran juara ke-14. Penampilan kali ini mempertaruhkan seramai 134 orang atlet dan akan bertanding dalam 10 acara sukan.

MEMBURU JUARA…Datuk Sri Fatimah Abdullah (tengah) bersama-sama barisan atlet Para Sukma Sarawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini.

“Masa yang kita tunggu sudah tiba, diharap semua atlet akan dapat fokus apabila turun bertanding nanti,” ujar Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Sri Fatimah Abdullah selepas menyaksikan keberangkatan atlet Para Sukma Sarawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), hari ini.

Sebelum itu, Fatimah turut mengingatkan kepada semua atlet agar tidak terlalu yakin disebalik penampilan mereka kali ini.

Menurut Fatimah, beliau sedar cabaran hebat menanti semua atlet terutama dari negeri lain terlibat.

“Apa yang penting, mereka perlu lebih berdisiplin dan harus sentiasa cergas,” tambah beliau.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak Noriah Ahmad.

Suara Sarawak