Awang Tengah mengiringi Taib dan Ragad menyertai perarakan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak di Miri, hari ini. Gambar ihsan Japen

MIRI: Konsep kelangsungan hidup di Sarawak hari ini adalah secara bersama-sama membina kehidupan yang saling memerlukan dan mengiktiraf kebaikan di antara satu sama lain dalam mengekalkan perpaduan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya dalam era global dan digital masa kini, berpandukan konsep Piagam Madinah, Sarawak boleh dikatakan sebagai satu-satunya negeri yang mengamalkan konsep Ta‘ayush secara harmoni dan bersahaja.

Konsep Ta’ayush yang diterbitkan dari Model Piagam Madinah, adalah bermaksud hidup kebersamaan tanpa prejudis dan syak wasangka apalagi dalam hal kepercayaan beragama.

“Di negeri ini, tiada siapa yang boleh menyakiti hati agama lain dengan membanding dan merendah-rendahkan kepercayaan orang lain yang tidak seagama.

“Sarawak tetap kekal sebagai model masyarakat yang saling bekerjasama dan hormat di antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Perhimpunan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak di sini, hari ini yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.

Dalam pada itu, Abang Johari bersyukur kerana umat Islam dalam kalangan rakyat di Sarawak telah mengorak langkah untuk menjadi warga yang berilmu pengetahuan.

Katanya saban tahun generasi muda Islam telah berkecimpung dalam banyak bidang sehingga mencapai peringkat kebangsaan malah antarabangsa.

Justeru, beliau menyeru agar rakyat Sarawak terus melipatgandakan usaha dan ikhtiar agar azam ke arah kemajuan dapat dicapai dan segala permasalahan dapat diselesaikan.

“Tanggungjawab kita bersama ialah untuk berdoa dan menghindarkan diri daripada sikap-sikap negatif seperti tamak, rasuah, pecah amanah, hilang sabar dan sebagainya.

“Apa yang lebih penting adalah kita menggunakan peluang yang ada untuk terus mempertingkatkan daya kreativiti untuk memajukan agama, bangsa, negeri dan negara,” katanya.

Suasana perarakan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak di Miri, hari ini. Gambar ihsan Japen

 

Suasana perarakan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak di Miri, hari ini. Gambar ihsan Japen

Suara Sarawak