Datuk Willie Mongin ketika berucap pada majlis makan malam kutipan derma untuk projek pembinaan Gereja St Catherine Kampung Bratan

KUCHING: Kemajuan sesebuah gereja melambangkan komitmen umatnya terhadap agama dan pusat ibadah, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin.

Justeru katanya, setiap umat harus menyumbang kepada kemajuan gereja.

“Masyarakat Kristian perlu taat kepada ajaran agama serta komited dalam memajukan gereja di kawasan masing-masing.

“Oleh itu, umat Gereja St Catherine Kampung Bratan perlu bersama-sama menghulurkan sumbangan bagi memastikan jumlah yang diperlukan mencukupi.

“Jumlah yang diperlukan adalah sebanyak RM1 juta untuk kos pembinaan bangunan baharu gereja, dan kini kekurangan RM500,000 untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam kutipan derma untuk projek pembinaan Gereja St Catherine Kampung Bratan, di sini, semalam.

Tambahnya, keadaan bangunan gereja yang lama agak kecil dan usang untuk digunakan.

“Oleh yang demikian, pihak gereja berusaha mengumpul dana bagi kerja-kerja pembinaan, ” katanya sambil menambah jumlah terkumpul setakat ini sebanyak RM160,000 termasuk peruntukan RM100,000 daripada dana beliau dan RM5,000 sumbangan peribadi beliau.

Malah, pada majlis tersebut, beliau sekali lagi mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50,000.

Beliau turut menyarankan agar pihak pengurusan Gereja St Catherine mengemukakan surat permohonan geran kepada Unit Hal Ehwal Agama Lain (Unifor) untuk menambah dana kos projek tersebut.

“Pihak gereja juga sudah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Perpaduan Negara dan masih menunggu jawapan,” katanya.

RAMAI… tetamu menghadiri majlis makan malam kutipan derma untuk projek pembinaan Gereja St Catherine Kampung Bratan

Suara Sarawak