KUCHING: Seramai 1,398 anggota polis digerakkan untuk membantu mengawal dan mengurus tadbir sekiranya banjir berlaku dalam tempoh pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah memberitahu dalam konteks ini, IPD bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut susulan jangkaan risiko banjir berlaku ketika berlangsungnya PRU-15.

“Ia merupakan satu tugasan yang mencabar kerana pelaksanaan PRU kali ini berisiko untuk mengalami banjir. Oleh itu, kita perlu melaksanakan tugas ini bersama-sama.

Ahsmon menyampaikan sijil penghargaan KPD kepada salah seorang anggota sempena perhimpunan bulanan siri 7/2022

“Susulan itu, kita turut menggerakkan 90 peratus daripada kekuatan penugasan yang ada bagi memastikan pilihan raya kali ini berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Perhimpunan Bulanan IPD Kuching di Padang Kawad IPD Kuching, di sini, hari ini.

Beliau menambah, pihaknya telah mengenal pasti 23 lokasi yang digunakan untuk tempat pemindahan sementara banjir serta sebagai pusat pembuangan undi sekiranya berlaku banjir.

“Ini memerlukan perancangan yang menyeluruh bagi memastikan pilihan raya dapat dilaksanakan dengan lancar, begitu juga dengan pemindahan mangsa sekiranya berlaku banjir.

“Kita sudah bersedia. Kita juga mempunyai sokongan daripada pucuk kepimpinan di peringkat kontinjen Sarawak dan juga rakan-rakan agensi lain yang turut bekerjasama memastikan keadaan terkawal menjelang PRU-15 kelak,” ujarnya.

Suara Sarawak