KUCHING: Kerajaan Sarawak menyediakan langkah awal menghadapi bencana banjir dijangka berlaku pada penghujung tahun ini dengan mengaktifkan sebanyak 627 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) secara menyeluruh di Sarawak.

Kementerian Wanita, Kanak-Kanak, dan Pembangunan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) dalam satu kenyataan mengesahkan, jumlah PPS itu dijangka bakal menampung seramai 162,091 individu di Sarawak yang terkesan akibat daripada bencana itu kelak.

Kenyataan itu turut mengesahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) sudah mempunyai satu depoh simpanan bencana berskala besar merangkumi tiga buah mini depoh dan 16 stor dibuka yang terdiri di pejabat kebajikan masyarakat bahagian dan daerah seluruh Sarawak.

“JKMS menyediakan sebanyak 25 buah pangkalan hadapan menempatkan bantuan makanan berupa makanan kering khusus di kawasan pedalaman bagi memastikan penyampaian bantuan bencana tidak terganggu.

“Sebanyak 206 pembekal ditetapkan untuk menyediakan barangan kepada mangsa semasa berlakunya bencana, yang mana 77 daripadanya adalah pembekal berskala besar manakala 129 adalah pembekal berskala kecil,” katanya.

Kenyataan itu menambah, 252 pembekal makanan masak setakat ini sudah mengesahkan persiapan menjelang musim tengkujuh dijangka berlaku bila-bila masa pada penghujung tahun ini.

Suara Sarawak